JELI - Pakej kaedah mendulang emas yang ditawarkan Koperasi Al-Muhibbin Kalai di sini 'laku keras' apabila ramai berminat untuk mempelajari teknik tersebut bagi merasai pengalaman mendapatkan hasil bumi bernilai tinggi itu.
Koperasi yang ditubuhkan sejak 2019 oleh penduduk di Kampung Kalai di sini itu adalah bagi menjaga khazanah setempat.
Penghulu Mukim Kalai, Shahfakrimee Sallah berkata, orang ramai berpeluang merasai sendiri pengalaman mendulang emas dengan cara yang betul.
"Kalau datang sini belajar mendulang dengan niat hendak mencari emas bagi menjana pendapatan, kena tangguhkan dulu.
"Tunggu garis panduan serta keputusan yang akan dikeluarkan kerajaan negeri tidak lama lagi," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, pakej belajar mendulang ditawarkan pada harga serendah RM10 seorang.
Ujarnya, segala kelengkapan disediakan dan ia dilakukan sambil menikmati keindahan alam serta mandi-manda di Sungai Tadoh di sini.
Shahfakrimee memberitahu, selain itu bayaran RM15 dikenakan bagi mereka yang berminat untuk mendaki ke terowong emas peninggalan pelombong dari Perancis yang berusia mencecah 100 tahun di sini.
"Sejak pengumuman dibuat oleh kerajaan negeri yang membenarkan aktiviti mendulang emas, kami menerima banyak permintaan untuk belajar teknik mendulang.
"Kebetulan sekarang ini sudah memasuki musim tengkujuh jadi ia perlu dirancang sebaik mungkin. Dijangkakan permintaan semakin meningkat apabila musim kemarau nanti," katanya.
Beliau memberitahu, pakej tersebut sudah lama diperkenalkan oleh Koperasi Al-Muhibbin Kalai, namun mungkin ramai tidak tahu serta tidak berminat kerana sebelum ini mendulang emas adalah salah di sisi undang-undang kerajaan negeri.
Ujarnya, apabila sudah 'dihalalkan' dijangka lebih ramai yang berminat ke sini dan Kampung Kalai semakin dikenali di samping dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat melalui aktiviti agropelancongan.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, beliau telah meminta Majlis Daerah Jeli (MDJ) untuk membuat cadangan sewajarnya apa yang harus dilakukan bagi menjadikan hasil emas yang ada di sini dapat dimanfaatkan terutama dari sektor agropelancongan.
"Sekarang ini saya sedang menunggu cadangan daripada MDJ," katanya.