TEKA-teki para peminat tentang kehamilan isteri pelawak Shuib terjawab apabila dia sendiri mengiyakan berita gembira itu.
Memetik OhBulan, usahawan itu mengesahkan Watie Hanifiah kini sedang mengandung dan usia kandungan melepasi trimester kedua. Bapa kepada tiga cahaya mata itu mengakui perasaan bercampur-baur terkenangkan Siti Sarah ketika mengandung anak bongsu mereka dan kehamilan pertama Watie yang gugur.
"Alhamdulillah, seperti mana yang orang nampak, isteri saya memang sudah hamil lima bulan.
"Masa mula-mula dia hamil yang pertama sebelum ini, kami tahu (positif hamil) ketika berada di Madinah.
"Semasa itu saya rasa sangat sayu kerana teringatkan arwah Siti Sarah yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.
"Jadi, bila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula, macam dejavu. Sebenarnya rasa sayu dan takut sedikit, tetapi kehamilan pertama bukan rezeki kami," kongsi Shuib.
Dengan kerendahan hati, pemilik nama Shahmira Muhamad, 41, itu turut menitipkan rasa syukur kerana dikurniakan peluang sekali lagi untuk memiliki cahaya mata bersama dan mendedahkan proses kehamilan kali ini memang dirancang dari awal.
"Yang kedua ini memang kami ada merancang. Alhamdulillah, lekat (hamil). Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan sebaiknya kerana sebelum ini dia kuat bekerja," katanya.
Mendedahkan tidak ramai mengetahui berita kehamilan Watie, Shuib mengakui masih belum bersedia untuk berkongsi jantina bayi.
"Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai buat kami berdua," tuturnya.
Sekadar info, Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023. Pasangan itu pernah mengalami keguguran anak pertama pada 11 Mei lalu.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Talita Zahra, 12, dan Ariq Matin, 9, Ayash Affan, 4. - SinarPlus