PUTRAJAYA – Penggunaan rokok elektronik atau dikenali sebagai vape sebagai medium baharu penagihan muncul cabaran terbesar Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam membendung penyalahgunaan dadah.
Ia susulan penularan cecair vape dicampur bahan sintetik yang dijual dan boleh diakses secara dalam talian.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, wujud laporan mengenai cecair mengandungi 'mushroom' serta ganja sintetik yang dipasarkan kepada generasi muda termasuk pelajar sekolah.
"Bahan ini boleh mengancam nyawa dan juga memberi kesan halusinasi selain kerosakan otak dalam tempoh singkat," katanya menerusi sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Bersama Media pada Rabu.
Beliau menegaskan peningkatan turut berlaku terhadap penggunaan pil kuda, syabu, ketamin dan ekstasi berikutan akses mudah serta kesan segera berbanding heroin atau ganja.
Jelasnya, rawatan pengguna sintetik jauh lebih kompleks kerana ia melibatkan isu ketagihan bersama masalah kesihatan mental, sekali gus memerlukan intervensi psikososial merangkumi aspek emosi, spiritual serta biologi.
“Keadaan ini menuntut pendekatan menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada ubat semata-mata,” ujarnya
Ruslin menjelaskan sehingga September tahun ini, seramai 156,316 individu direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau bahan sintetik, menurun 7.9 peratus berbanding 169,691 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 76,467 atau 83.2 peratus terbabit dengan dadah sintetik, kebanyakannya dalam lingkungan usia 15 hingga 39 tahun.
Dalam pada itu, beliau menyeru majikan supaya tidak meminggirkan bekas pelatih kerana stigma mampu meningkatkan risiko mereka kembali menagih.
Sepanjang program pemulihan, pelatih menerima latihan kemahiran seperti pastri, pertanian, kimpalan dan perkhidmatan bagi membantu mereka berdikari.
AADK menyasarkan kadar kepulihan 80 peratus dan menganggap penglibatan syarikat luar penting bagi memastikan bekas pelatih terus stabil dalam komuniti.