NAMA sekolah Mon Thong Wittaya yang sebelum ini asing buat dunia luar, kini mekar di bibir peminat bola sepak serantau.
Sekolah kampung dari Thailand ini berjaya mencipta sejarah luar biasa apabila berjaya melangkah ke final kejohanan 7HD Champion Cup 2025 (bola sepak tujuh sebelah) minggu lalu.
Mereka mencetuskan fenomena sejak mula mara ke pusingan akhir kejohanan apabila Stadium Suphachalasai, Bangkok terlalu padat dengan penyokong yang mahu melihat perlawanan mereka.
Sebelum ke final dan tewas tipis 1-2 kepada Chai Nat Provincial School, mereka melalui jerih perih menewaskan beberapa pasukan lain, termasuk dari sekolah-sekolah elit dan akademi bola sepak tersohor di sana.
Tanpa kemewahan, tajaan besar, kelengkapan canggih, mereka hanya bertunjangkan semangat dan disiplin berpasukan.
Namun, itulah senjata yang membawa mereka ke puncak. Di tangan jurulatih yang cekal dan perancangan rapi, gabungan pemain muda yang dianggap ‘biasa-biasa’ ini berjaya membuktikan bahawa tiada yang mustahil bagi mereka yang berjuang sepenuh hati.
Fenomena Mon Thong Wittaya bukan sekadar mencetuskan kebanggaan di Thailand, tetapi turut menggegarkan media sosial seluruh ASEAN termasuk Malaysia.
Ribuan komen, perkongsian diberikan di media sosial seolah-olah dunia bola sepak menemui semula jiwanya jujur dan bersahaja, tetapi sarat dengan nilai perjuangan.
Kisah sekolah komuniti Muslim yang hanya memiliki sekitar 500 pelajar di daerah Bang Nam Priao, ke utara Bangkok ini harus membuka mata kita di Malaysia.
Sudah terlalu lama kita tidak mendengar kisah bola sepak tempatan yang benar-benar menyentuh hati.
Kejayaan seperti ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada pasukan bola sepak sekolah-sekolah di negara ini.
Masih ramai anak muda kita yang berbakat, tetapi sayangnya sering terhenti di tengah jalan, bukan kerana kurang kemampuan, tetapi kerana sistem yang membelenggu.
Di Malaysia, kejohanan bola sepak remaja wajar diberi nafas baharu. Pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekolah sukan negeri, akademi bola sepak perlu merencanakan sesuatu yang segar dan berdaya saing.
Tidak cukup sekadar wujud di atas kertas atau sekadar acara tahunan. Ia perlu menjadi medan sebenar untuk mencungkil permata terpendam di peringkat akar umbi.
Pemilihan pemain mewakili pasukan pula perlu bebas daripada sikap pilih kasih, ‘dasar kabel’, atau hanya tertumpu kepada kelompok tertentu. Libatkan semua kaum, semua latar belakang, kerana bola sepak bukan milik sesiapa, ia milik semua.
Apa yang dilakukan oleh Mon Thong Wittaya adalah bukti bahawa kejayaan tidak mengenal asal-usul. Tidak mustahil kisah mereka menjadi naskhah hebat di layar perak.
Malah, khabarnya sudah ada syarikat produksi di Thailand yang merancang untuk mengangkat kisah ini menjadi filem. Dan mengapa tidak? Ia kisah benar yang penuh nilai moral, air mata dan kebanggaan.
Selepas kejohanan, banyak tawaran bantuan diterima, termasuk dalam pembangunan pasukan dan pengubahsuaian sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Thamanat Prompow menyumbangkan biasiswa pendidikan bernilai 150,000 baht (RM19,500).
Selain itu, syarikat Thai Smile Bus telah menghadiahkan sekolah sebuah bas elektrik bagi menggantikan lori ‘tuk tuk’ yang menjadi kenderaan mereka.
Bola sepak remaja Malaysia perlu bangkit. Bukan sekadar mencari kemenangan di padang, tetapi membina semula ekosistem bola sepak yang telus dan menyeluruh.
Dan siapa tahu, suatu hari nanti, akan lahir Mon Thong Wittaya versi Malaysia, dari sekolah kampung yang tidak pernah disebut pun namanya, tetapi menjadi legenda untuk seluruh negara.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian