Kegagalan NG999: MCA gesa kerajaan tumpu lima langkah penambahbaikan

Iklan
Masalah yang berlaku pada hari pertama talian kecemasan itu beroperasi disifatkan bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan tadbir urus yang boleh mengancam nyawa.Gambar kecil: Hang Soon

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memberi tumpuan segera terhadap lima langkah pembetulan kritikal bagi memastikan keberkesanan sistem panggilan kecemasan Next Generation Emergency Services (NG999) dan keselamatan awam tidak terjejas.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, masalah yang berlaku pada hari pertama talian kecemasan itu beroperasi bukan sekadar kelemahan teknikal, tetapi kegagalan tadbir urus yang boleh mengancam nyawa.

Iklan
Iklan

“Kerajaan perlu kenal pasti titik sekatan dan punca kegagalan dalam kapasiti sistem, kelewahan dan penghalaan panggilan.

“Segera lakukan ujian tekanan di seluruh negara bagi mengenal pasti titik kegagalan sebenar memandangkan aduan seperti ‘talian tidak boleh ditembusi’ menunjukkan isu itu bersifat menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Dr A Lingeshwaran mendedahkan pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada orang awam yang mengesahkan bahawa sistem itu tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, operasi perkhidmatan ambulans turut menerima kesan hingga membebankan perkhidmatan kecemasan di seluruh negara.

Iklan

Dalam pada itu, Hang Soon turut menggesa satu prosedur operasi standard (SOP) kerosakan sistem kecemasan diwujudkan bagi mengaktifkan talian sandaran atau pengurusan manual secara automatik sekiranya berlaku gangguan, supaya pemanggil tidak berdepan talian sepi ketika memerlukan bantuan.

Di samping itu, ujarnya, penyelarasan antara polis, bomba dan hospital juga perlu diperkukuh melalui penubuhan pusat arahan bersama bagi memastikan gangguan pada mana-mana agensi tidak menyebabkan kelewatan berangkai.

“Terbitkan data prestasi NG999 secara telus termasuk kadar sambungan dan masa menunggu bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem tersebut.

“Kerajaan mesti segera menambah tenaga kerja, memperluas latihan dan meningkatkan penjadualan kakitangan pada waktu puncak supaya apabila orang ramai mendail 999, bantuan dapat disalurkan segera, bukan disambut talian sepi,” tegasnya.