Ahmad Zahid hormat, sedia terima keputusan MIC dengan hati terbuka

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET) 2025 di Wisma MCA. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau menghormati dan menerima dengan hati terbuka sebarang keputusan yang bakal dibuat MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan berkenaan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman parti pimpinan Tan Sri S A Vigneswaran.

Iklan
Iklan

"Saya mengikuti dengan dekat apa yang telah diperbahaskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC.

"Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kepimpinan MIC. Saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka.

Iklan

"Apa juga keputusan yang dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerimanya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China 2025 di Wisma MCA pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, perwakilan MIC ketika AGM ke-79 yang berlangsung di Shah Alam, sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu.

Iklan

Vigneswaran menjelaskan, Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu akan meneliti usul perwakilan bagi menentukan langkah seterusnya.

Sementara itu ditanya mengenai saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan langkah berkenaan sebagai pendekatan terbaik.

"Itu (perbincangan) adalah satu pendekatan yang baik. Dan apa pun keputusan yang akan dibuat, terserah kepada parti berkenaan," ujarnya.