Representasi pemandu Honda Jazz ditolak

Iklan
Tertuduh hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

SEREMBAN - Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pemandu Honda Jazz bawah umur yang menyebabkan kematian tiga remaja di Senawang, Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memaklumkan perkembangan itu kepada Majistret, Saiful Sayoti dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Peguam, Nor Amirah Ibrahimi Husaimi yang mewakili tertuduh berusia 17 tahun itu memohon tarikh sebutan baharu untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan bermula.

Terdahulu, pemandu Honda Jazz terbabit dilihat hadir ke mahkamah menaiki kerusi roda bersama ibu dan ahli keluarga lain.

Iklan

Dia berkerusi roda sejak kali pertama dituduh di mahkamah pada April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu Honda Jazz memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Iklan

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa sama.

Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes pada 17 Disember depan.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah Honda Jazz dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di sini.