GOLONGAN pemandu lori mendakwa mereka semakin terhimpit dengan tekanan kerja melampau apabila terpaksa memenuhi arahan majikan yang menuntut mereka mengejar masa, membawa muatan berlebihan dan mematuhi jadual perjalanan ketat sehingga mengundang risiko keselamatan kepada semua pengguna jalan raya.
Rata-rata pemandu mengakui keadaan itu berlaku sejak sekian lama namun jarang diketengahkan kerana bimbang dikenakan tindakan oleh syarikat.
Menurut mereka, jadual perjalanan yang ditetapkan pihak pengurusan sering kali tidak realistik, khususnya melibatkan perjalanan jauh yang memerlukan masa rehat mencukupi seperti ditetapkan undang-undang.
Lebih memburukkan keadaan, pemandu mendakwa mereka dipantau secara langsung melalui sistem GPS dan aplikasi pemantauan yang merekod setiap pergerakan, termasuk masa berhenti, tahap kelajuan dan lokasi.
Situasi itu menyebabkan ada yang terpaksa memandu tanpa henti, malah mengabaikan waktu rehat kerana bimbang dikenakan tindakan disiplin sekiranya tiba lewat di destinasi.
Pemandu juga mendakwa wujud arahan tidak rasmi agar lori membawa muatan lebih daripada had dibenarkan, walaupun mereka sedar perbuatan itu boleh menjejaskan kawalan kenderaan serta meningkatkan risiko kemalangan.
Ada antara mereka mengakui dilema yang ditanggung, sama ada mematuhi peraturan jalan raya atau menurut kehendak majikan demi mempertahankan pekerjaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Dalam pada itu, pemandu berpendapat tumpuan penguat kuasa yang sering menahan mereka atas kesalahan teknikal di jalan raya gagal menyelesaikan punca sebenar, iaitu tekanan operasi yang ditetapkan syarikat.
Mereka menegaskan tindakan majikan jarang dipersoalkan, sedangkan syarikat merupakan pihak yang menentukan jadual perjalanan dan tugasan harian yang melampaui kemampuan manusia untuk memandu secara selamat.
Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan apabila risiko kemalangan meningkat apabila pemandu berada dalam keadaan letih, tertekan dan kurang fokus ketika mengendalikan kenderaan berat.
Beberapa pemandu berkongsi pengalaman pernah hampir terlibat kemalangan akibat mengantuk teruk selepas dipaksa menyempurnakan perjalanan dalam masa singkat, selain takut dikenakan potongan gaji.
Sinar Harian difahamkan masalah ini bukan kes terpencil, sebaliknya turut melibatkan pelbagai syarikat pengangkutan yang berlumba memenuhi permintaan penghantaran terutama selepas pertumbuhan sektor logistik.
Sehubungan itu, pemandu berharap pihak berkuasa dapat menilai semula prosedur operasi syarikat, meningkatkan pengawasan terhadap jadual kerja pemandu serta memastikan aspek keselamatan tidak dikorbankan demi mengejar keuntungan.
Kisah 'abang lori tersepit' hari ini membuka ruang kepada perbincangan lebih besar tentang hak pekerja, tanggungjawab majikan dan peranan penguat kuasa dalam menjamin keselamatan industri logistik negara.