Kerja pembinaan ECRL di FT28 dihentikan sementara

Iklan
Insiden runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Semua kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves dihentikan sementara susulan insiden keruntuhan struktur besi.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek memaklumkan, langkah itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

Iklan
Iklan

Jelas syarikat itu, struktur sementara yang digunakan dibina bagi memastikan keselamatan jalan raya dan menyokong pelaksanaan kerja-kerja Jalan di bawah jejambat (RUB) #16.

"Kerja-kerja pembinaan RUB #16 telah disiapkan pada Oktober lalu dan kini proses berkaitan pembukaan struktur sementara yang dijadualkan bermula pada Khamis selepas menerima kelulusan agensi terlibat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap insiden berkenaan yang runtuh dan menimpa sebuah kenderaan sedang melalui jalan berkenaan sekitar jam 2 petang.

Dalam kejadian itu, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam beberapa minit sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Iklan

Jelas MRL, pihak berkuasa dan agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dilaporkan berada di lokasi bagi menjalankan tindakan lanjut.

'Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara sedang dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa.

"Laluan terlibat kini telah dibuka semula untuk kegunaan orang awam," katanya.

MRL dalam pada itu turut menzahirkan komitmen terhadap keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja projek.

"Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik," ujarnya.