'Tahniah Putrajaya, takziah Larut' - Hulu Langat dakwa Radzi Jidin bakal Ketua Pembangkang

Iklan
Mohd Sany ketika membahaskan RUU Perbekalan bagi KKM di Dewan Rakyat pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan ucapan tahniah oleh Mohd Sany Hamzan (PH - Hulu Langat) kepada Datuk Dr Radzi Jidin (PN - Putrajaya) yang didakwa bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Ucapan itu dibuat ketika Mohd Sany membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di peringkat jawatankuasa.

Iklan
Iklan

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut) yang didakwa akan dilucut daripada jawatan tersebut susulan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga merupakan komponen Perikatan Nasional (PN).

"Saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya yang khabarnya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia.

Iklan

"Takziah diucapkan kepada Ahli Parlimen Larut yang dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Selamat bertugas Ahli Yang Berhormat Putrajaya," dakwanya sebelum mengakhiri perbahasan di Dewan Rakyat.

Ucapan perbahasan Ahli Parlimen darpada Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyebabkan sidang Dewan Rakyat sedikit gamat apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang menyifatkannya sebagai 'tidak kena' dengan sesi perbahasan RUU di bawah KKM.

Iklan

Susulan itu Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yeng bertindak menegur sambil mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya tidak berpolitik dalam Dewan.

Sebelum ini tersebar satu surat jemputan daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua ahli Parlimen parti itu untuk mengadakan pertemuan pada malam ini.

Perjumpaan tersebut dijadualkan akan berlangsung pada jam 8 malam di kediaman Perdana Menteri ke-8 itu.