CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membongkar ketidakpatuhan cukai membabitkan sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah hingga menjejaskan hasil negara dengan anggaran pendapatan tidak dilaporkan sekitar RM70 juta.
Dalam kenyataan pada Selasa, LHDN memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan seiring usaha kerajaan memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang berakar puluhan tahun sehingga menjejaskan hasil negara.
"Operasi serentak itu melibatkan tiga lokasi di sekitar Lembah Klang iaitu premis perniagaan syarikat, kediaman pengarah dan sebuah firma juruaudit," katanya.
Menurut kenyataan itu, penggeledahan dilakukan LHDN bagi mendapatkan dokumen serta bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.
"Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dengan jumlah anggaran sekitar RM70 juta," jelas lembaga itu.
Kes kini disiasat di bawah subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) akta sama terhadap pengarah syarikat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut.
Menurut beliau, operasi itu adalah sebahagian daripada tindakan bersasar LHDN dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.
“Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan," ujarnya.
Tegas LHDN, antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan.
"Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan LHDN untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara," jelasnya.