Keputusan MIC tidak jejas sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Sathia

Iklan
Sathia (kanan) bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu pada Isnin.

SHAH ALAM - Keputusan sama ada MIC kekal atau keluar daripada Barisan Nasional (BN) tidak memberi kesan besar terhadap hala tuju politik semasa termasuk Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor, Dr Sathia Prakash berkata, perkara paling utama pada ketika ini adalah memastikan sokongan pengundi diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana negara memerlukan kepimpinan yang stabil dan berwibawa.

Iklan
Iklan

“Apa yang lebih penting, khususnya dari sudut pandang JPRN Selangor adalah kita memilih PKR (Parti Keadilan Rakyat) dipimpin Perdana Menteri.

“Pada ketika ini, tidak ada tokoh lain yang lebih layak memimpin negara selain Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau menegaskan, tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha memperkukuh mandat Perdana Menteri, memandangkan kepimpinan Anwar disifatkan paling konsisten, stabil dan berorientasikan rakyat.

Katanya, sebarang percaturan politik oleh mana-mana parti tidak harus mengalih perhatian daripada matlamat memastikan Malaysia terus mara ke hadapan di bawah kepimpinan yang komited terhadap agenda reformasi, perpaduan dan tadbir urus baik.

Iklan

“Keutamaan kita ialah memastikan Malaysia tidak tersasar daripada landasan pembaharuan yang sedang dibawa.

“Perdana Menteri telah membuktikan komitmennya dalam menerajui negara tanpa meminggirkan mana-mana pihak, sama ada dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung,” katanya.

Sathia berkata, adalah penting rakyat khususnya di Sabah memahami kepentingan untuk terus berada sebaris menyokong kepimpinan Perdana Menteri demi kesinambungan pembangunan nasional.

Sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Jelas beliau, perwakilan setiap negeri berhak mengusulkan perkara tersebut, namun keputusannya perlu diteliti CWC terlebih dahulu.