'Terima kasih pak cik Grab'

Iklan
Mirzahiraa berkongsi kisahnya dibantu seorang pemandu Grab di Seremban.

SEREMBAN - Hidup merantau sebatang kara dan tiba-tiba diuji pula dengan masalah kesihatan mungkin menjadi saat paling getir buat seorang gadis.

Namun ujian itu bertukar menjadi pengalaman menyentuh hati selepas gadis terbabit menerima bantuan luar biasa daripada seorang pemandu Grab.

Iklan
Iklan

Kisah itu dikongsi pemilik media sosial Threads, Mirzahiraa, yang berasal dari Perak dan kini bekerja di daerah ini tanpa ditemani ahli keluarga.

Menurutnya, kejadian berlaku awal pagi Ahad lalu apabila dia bangun dalam keadaan menggigil dan terpaksa mencari klinik berhampiran.

Iklan

“Pagi semalam, bangun subuh mula rasa tak sihat sampai menggigil. Jadi turun ke lobi dan tanya orang dekat situ di mana klinik yang buka hari Ahad.

“Bila sampai, klinik itu tutup. Masa itu memang terketar-ketar. Saya cuba telefon teman lelaki, tapi tak berjawab,” tulisnya.

Iklan

Dalam keadaan lemah, dia menghubungi perkhidmatan Grab walaupun bimbang kerana hanya mempunyai RM30.

Namun sebaik pemandu Grab itu tiba, lelaki berkenaan segera bertanya mengenai keadaannya sebelum meyakinkan bahawa soal bayaran bukan masalah.

“Pak cik itu nak bawa saya ke hospital swasta, tapi saya takut tak cukup duit. Akhirnya dia bawa saya ke hospital kerajaan,” katanya.

Lebih mengejutkan, pemandu tersebut bukan sahaja menghantarnya sehingga ke pintu Jabatan Kecemasan, malah membelikannya sarapan dan memberikan sedikit wang belanja.

“Dia siap WhatsApp tanya keadaan saya dan tawarkan bantuan lain. ALLAH permudahkan segalanya melalui pakcik Grab itu,” luahnya.

Mirzahiraa turut menyeru orang ramai yang menggunakan perkhidmatan lelaki tersebut agar memberi penilaian lima bintang sebagai tanda penghargaan terhadap kebaikan dan keikhlasannya.

Kisah itu mengundang pelbagai reaksi positif netizen yang tersentuh dengan keprihatinan pemandu Grab tersebut, sekali gus membuktikan bahawa masih ramai insan berhati mulia di sekeliling kita.