Mat Yie simpan impian beraksi di pentas Byon

Iklan
Azri (kiri) melepaskan sepakan padu ke arah Yuskhairul pada pertarungan Grand Final Kuda Merah di Stadium Titiwangsa pada Ahad. Foto Rosli Talib

"KALAU peluang itu datang, saya tak tolak atau fikir dua kali untuk tandatangan kontrak."

Demikian kata Mohd Azri Nazman, 34, atau lebih dikenali sebagai Mat Yie Kayu Kelat mengenai impiannya beraksi di pentas Byon Combat di Indonesia.

Iklan
Iklan

Petarung dan jurulatih di Phet Muay Thai Gym itu berkata, Byon adalah salah satu platform terbaik untuk menguji kemampuan dan mengembangkan nama di peringkat serantau.

"Kalau ada kontrak datang, saya pasti menerimanya dengan senang hati.

Iklan

"Byon adalah platform terbaik untuk test market dan buat orang kenal nama kita," katanya ketika ditemui selepas meraih kemenangan di Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.

Azri yang mengikuti rapat perkembangan Byon sejak Byon Vol 4 turut meramalkan kontinjen Malaysia berpotensi mencatat keputusan positif dalam Byon Combat Vol 6 Indonesia vs Malaysia 2 pada 22 November ini.

Iklan

Azri (kiri) melepaskan sepakan padu ke arah Yuskhairul pada pertarungan Grand Final Kuda Merah di Stadium Titiwangsa pada Ahad. Foto Rosli Talib

Tambahnya, kali ini kontinjen Malaysia yang dibarisi 10 petarung, termasuk rakan sepelatihnya Izat Zaki (Mohd Fazzatkie Mohd Zaki) berada pada tahap lebih kompetitif berbanding Byon Vol 4.

"Kalau dulu kalah 8-1, kali ini kita boleh balas balik dengan sekurang-kurangnya lapan kemenangan. Semua petarung negara kali ini hebat," ujar Azri.

Sebagai rekod, di Byon Combat Vol 4 Malaysia mencatat kemenangan tunggal menerusi Putra Abdullah Mahmoud yang menundukkan Bernard Salasa atau dikenali sebagai KK Ungke dalam disiplin tinju.

Dalam pada itu, mengulas kemenangannya di Grand Final Kuda Merah, Azri berkata beliau sudah mengkaji corak pertarungan lawannya, Yuskhairul Yusof atau Mat Korro yang juga finalis MFN International Mega 8 Pro Muaythai yang dijadualkan berlansung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 Disember nanti.

Menurutnya, Yuskhairul, 39, mempunyai 'senjata' berbahaya iaitu siku yang sering 'menidurkan' lawan di atas gelanggang, namun strategi menjaga jarak dan melancarkan serangan pada masa tepat dan sesuai membantu kemenangannya pada malam tersebut.

Dalam pertarungan tersebut, Azri berjaya menjatuhkan Yuskhairul sebanyak tiga kali sebelum pengadil menghentikan perlawanan di pusingan ketiga.

"Dia ada power tapi kurang speed, jadi saya guna kelebihan itu untuk mendominasinya di atas gelanggang," jelas Azri.

Tambah Azri, lebih manis kemenangan itu membalas kekalahan rakan sepelatihnya, Mohama Arsuwan Mamingbakor di tangan Yuskhairul semasa separuh akhir MFN International Mega 8 Pro Muaythai pada Ogos lalu.

Sebagai rekod, Sinar Harian merupakan media rasmi Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge.