Taktik kotor cemari kempen pilihan raya

Iklan
Penggunaan media sosial haruslah berhemah dan fokuslah kepada dasar, perancangan dan penyelesaian. Gambar hiasan

SETIAP kali musim pilihan raya, tumpuan rakyat seharusnya diberikan kepada dasar, pelan pembangunan dan rekod perkhidmatan calon.

Namun, seperti yang sering berlaku, naratif itu diganggu dengan taktik kotor. Serangan moral, skandal video, kenyataan menghina serta isu-isu sensitif sengaja ditiupkan untuk menimbulkan persepsi negatif.

Iklan
Iklan

Kontroversi seperti skandal video gelap, kenyataan sinis tentang roti Gardenia, isu perkauman dan pertikaian bersifat peribadi dimainkan seolah-olah ia modal politik paling mudah.

Hakikatnya, Malaysia sudah bergerak jauh ke hadapan dari segi literasi politik dan digital. Rakyat semakin celik dan bosan dengan permainan lama yang sama, terutama apabila isu sebenar kehidupan iaitu kos sara hidup, akses peluang pekerjaan, keselamatan dan masa depan negeri tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Iklan

Serangan moral bukanlah perkara baharu dalam politik tempatan. Ia telah lama menjadi cara cepat untuk mencipta keraguan dan menurunkan kredibiliti lawan.

Penyebaran video manipulasi, rakaman palsu, suara disunting atau kenyataan diputar belit sangat mudah berlaku dalam ekosistem digital hari ini.

Iklan

Namun, taktik kotor ini hanya menjejaskan kualiti demokrasi. Ia tidak mencerminkan kemampuan calon, tidak menunjukkan visi politik dan langsung tidak membantu rakyat membuat keputusan yang matang.

Jika dilihat kepada perkembangan politik di Sabah, satu perkara jelas, rakyat semakin lantang menyuarakan bahawa mereka tidak mahu lagi melihat taktik kotor pada musim pilihan raya.

Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian budaya, kesantunan sosial dan semangat harmoni, tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menyebarkan politik kebencian atau serangan peribadi.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, ada cubaan menggunakan isu sensitif, sentimen etnik dan dakwaan moral untuk mempengaruhi undi, tetapi ramai pengundi sendiri menolak pendekatan ini.

Mereka menyedari taktik sebegitu tidak membawa manfaat tetapi hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu lebih mendesak seperti kemiskinan tegar, akses air bersih, masalah infrastruktur luar bandar dan peluang ekonomi yang masih tidak sekata.

Hakikatnya, pengundi Sabah semakin matang. Mereka mahukan calon yang bercakap benar dan terus kepada isu, bukan pencetus kontroversi.

Tidak dapat dinafikan, media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram kini menjadi platform kempen paling berpengaruh.

Video pendek berpotensi mencapai jutaan tontonan dalam tempoh sehari, sekali gus menjadikan ia alat komunikasi yang sangat berkesan kepada pengundi muda.

Tetapi keberkesanan ini juga membuka ruang besar untuk penyebaran fitnah, manipulasi video atau deepfake, posting provokatif serta kenyataan beremosi yang sengaja dimainkan untuk mencetuskan kemarahan atau kebencian.

Justeru, penggunaan media sosial haruslah berhemah dan fokuslah kepada dasar, perancangan dan penyelesaian. Calon yang matang ialah calon yang menggunakan platform digital untuk mendidik, menjelaskan dan memperluas pemahaman rakyat, bukan menyerang peribadi lawan.

Rakyat di seluruh negara termasuk Sabah semakin penat dengan taktik politik usang. Demokrasi hanya boleh diperkukuh apabila pilihan raya kembali kepada asas iaitu memilih wakil rakyat yang mampu menjadi suara rakyat.

Persoalan paling penting bukan lagi ‘siapa dalam video itu’, tetapi ‘siapa calon boleh membawa isu kita ke Dewan Undangan Negeri.’

Sampai bila taktik kotor perlu digunakan, sedangkan masa depan rakyat adalah taruhan sebenar? Maruah demokrasi sedang bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini.

Jika kitaran taktik kotor tidak dihentikan, kita akan terus terperangkap dalam politik yang tidak membina.

* Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian