MCA fokus PRN Sabah, belum masa bincang kedudukan dalam BN

Iklan
Semua kepimpinan MCA berada di Sabah untuk persiapan menghadapi PRN. Gambar kecil: Sin Woon

SHAH ALAM - MCA menegaskan bahawa fokus utama parti ketika ini adalah sepenuhnya terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan bukan perbincangan berkaitan kedudukan dalam Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, parti belum mempunyai ruang dan masa untuk membincangkan perkara itu susulan tumpuan penuh diberikan kepada gerak kerja PRN.

Iklan
Iklan

"Kita sekarang ini semua bertumpu kepada PRN di Sabah. Jadi belum lagi kita ada masa hendak untuk berbincang perkara itu. Bukan sekarang.

"Kita semua menumpukan perhatian dan berada di Sabah ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan MCA mengenai kedudukan parti itu dalam BN dan masa depannya selepas perkembangan terbaharu yang melibatkan MIC.

Pada Ahad, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Iklan

Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Terdahulu, beliau ketika ucapan dasar memberitahu MIC tidak lagi dihormati sebagai salah sebuah komponen parti dalam BN, tidak kira sebagai adik-beradik mahupun rakan sekutu.

Vigneswaran turut berpendapat bahawa sekiranya MIC ingin bangkit bermaruah, parti tersebut mesti memperbaharui perjuangan bermula daripada golongan belia.

Tambah Sin Woon lagi, semua kepimpinan parti kini berada di Sabah dan digerakkan sepenuhnya untuk persiapan menghadapi PRN berkenaan.

Beliau turut mengulangi pendirian tumpuan parti itu adalah lebih kepada PRN ketika ini, sekali gus akan melakukan terbaik untuk membantu pilihan raya itu.