Presiden Harapan Rakyat beri laluan calon muda pertahan DUN Kukusan

Iklan
Yun Fah (kiri) bersama calon muka baharu, Samsiah (kanan) yang mewakili GRS.

KOTA KINABALU – Tidak seperti presiden parti lain, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) memilih pendekatan berbeza pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) apabila presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah, tidak menonjolkan diri sebagai calon, sebaliknya memberi laluan kepada golongan muda untuk bertanding.

Beliau berkata, keputusan tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dalam parti berkenaan kerana Harapan Rakyat tidak mengamalkan sifat rakus dalam berpolitik.

Iklan
Iklan

“Disebabkan politik dalam Harapan Rakyat ini tiada yang rakus dan bagi saya, itu tidak penting.

“Yang penting, kita sentiasa beri peluang kepada orang muda untuk menjadi pemimpin supaya dapat berkhidmat dengan lebih baik,” katanya pada Isnin.

Iklan

Menurut Yun Fah, kepimpinan parti berperanan sebagai pembimbing kepada calon muda yang diketengahkan agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Kami sebagai pemimpin, kami memantau mereka. Beri panduan kepada calon supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih baik.

Iklan

“Sejak awal lagi, matlamat kami adalah untuk mengutamakan rakyat, bukan kepentingan peribadi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peluang calon baharu yang diletakkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dan bagaimana penerimaan pengundi, Yun Fah menegaskan bahawa pertukaran calon merupakan perkara biasa dalam dunia politik.

“Bagi saya, setiap ahli politik, bila-bila masa boleh ditukar, boleh diganti. Itu bukan perkara penting.

“Yang penting adalah hala tuju kita dalam politik. Apa perjuangan kita? Jadi sama ada calon baharu atau lama, apa yang penting adalah sama ada rakyat menerima mereka untuk berkhidmat atau tidak,” ujarnya.

Tambah beliau, fokus utama parti adalah memastikan kepimpinan baharu dapat meneruskan perjuangan yang selari dengan aspirasi Harapan Rakyat dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Harapan Rakyat sebelum ini menampilkan calon baharu bagi menggantikan bekas penyandangnya yang juga Timbalan Presiden Harapan Rakyat selepas keahlian dan jawatannya digantung pada Rabu lalu.

Susulan itu, Rina tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Kukusan di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Rina muncul sebagai calon bebas bagi kerusi tersebut.

Sementara itu, calon muka baharu Harapan Rakyat, Samsiah Usman, 42, mengakui perlu bekerja keras untuk menambat hati rakyat dan mempertahankan kerusi yang sebelum ini dimiliki GRS.

“Sudah semestinya kena usaha lebih keras. Apa yang sebelum ini mungkin belum selesai, kita akan cuba selesaikan dan pertingkatkan lagi dalam semua aspek.

“Sebelum ini saya sering bekerja di belakang tabir, cuma kali ini saya tampil ke hadapan,” katanya.