BANTING – Seorang ibu tunggal berjaya menewaskan hampir 800 pemancing lain dan bergelar juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Kelanang di sini pada Ahad.
Ramlah Salleh, 61, yang sudah lebih dua dekad aktif menyertai pelbagai pertandingan memancing, mencuri tumpuan apabila menaikkan ikan semilang seberat 0.46 kilogram (kg) pada jam 2.35 petang menggunakan umpan umpun-umpun yang dibeli di lokasi pertandingan.
Kemenangan itu melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, selain tambahan RM500 sebagai pemastautin Selangor.
Tempat kedua disandang oleh peserta dari Selangor iaitu Hairul Suhaizam, yang menaikkan ikan semilang seberat 0.455kg dan membawa pulang RM3,000.
Manakala peserta dari Melaka, Azrul Hisham, meraih tempat ketiga dengan ikan gelama 0.445kg dan menerima RM1,000.
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd; Pengarah JPS Selangor, Datuk Ir Ts Mohd Nazri Yasmin dan Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.
Mengulas kemenangan itu, Ramlah yang mesra dipanggil Mak Long berkata, penglibatannya dalam dunia memancing bukan perkara baharu, malah sudah menjadi rutin sejak lebih 20 tahun lalu.
“Ini kali keenam saya menang. Sebelum ini saya pernah juara di Pulau Pinang, Pantai Remis dan Tanjung Harapan. Setiap kali sertai pertandingan saya hanya fikir buat yang terbaik,” katanya.
Sementara itu Izham berkata, kerajaan negeri terus komited memperkukuh sektor perikanan termasuk usaha menambah tukun sebagai habitat pembiakan ikan di perairan Selangor.
Menurutnya, pertandingan memancing akan diteruskan pada tahun hadapan sebagai antara usaha meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti rekreasi berasaskan laut.