Aktiviti tidak selaras matlamat, PAPSMA bubar pertubuhan

Iklan
PAPSMA menegaskan bahawa kepentingan APS berlesen dalam memastikan proses pengrekrutan dan kemasukan pekerja asing dilakukan secara beretika dan mematuhi dasar kerajaan kekal menjadi keutamaan. Gambar kecil: Sukumaran.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membatalkan pendaftarannya pada 21 Mac 2024.

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, ROS pada 3 Mei 2024 telah mengeluarkan surat rasmi memaklumkan pembatalan pendaftaran pertubuhan berkenaan.

Iklan
Iklan

“Keputusan untuk membubarkan persatuan ini diambil setelah mempertimbangkan bahawa aktiviti yang dijalankan tidak lagi selaras dengan matlamat dan objektif asal sejak penubuhannya pada tahun 2018,” jelasnya.

“PAPSMA merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas segala sokongan, kerjasama dan tunjuk ajar sepanjang tempoh kewujudannya.

Iklan

“Sumbangan kedua-dua kementerian amat dihargai sepanjang tempoh kewujudan kami,” katanya.

Walaupun telah dibubarkan, persatuan itu menegaskan bahawa kepentingan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen dalam memastikan proses pengrekrutan dan kemasukan pekerja asing dilakukan secara beretika dan mematuhi dasar kerajaan kekal menjadi keutamaan.

Iklan

Sukumaran berkata, PAPSMA menekankan bahawa kebajikan pekerja asing serta kepentingan negara perlu terus dipelihara melalui prosedur yang teratur di bawah pemantauan kementerian berkaitan.

Justeru katanya, PAPSMA mencadangkan agar sebuah persatuan atau badan penyelaras baharu dipertimbangkan bagi memperkukuh prestasi APS.

“Sebagai agensi berlesen, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk berganding bahu dan bekerjasama demi memelihara integriti industri pengrekrutan serta memastikan proses dan dasar kemasukan pekerja asing dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi ketetapan KDN dan KSM,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan badan baharu itu dapat membantu memastikan proses pengrekrutan dan kemasukan pekerja asing ke Malaysia melalui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dapat diselaraskan dengan lebih berkesan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.