RUU penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan dijangka dibentang 2026

Iklan
Anthony ketika menjawab soalan tambahan Shaharizukirnaindi Parlimen pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada tahun hadapan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum itu memorandum Jemaah Menteri berkenaan penubuhan MTSB itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

“Dari segi garis masa... harapan saya ia dapat dibawa ke Jemaah Menteri sebelum penghujung tahun ini. Sejurus mendapat kelulusan prinsip, maka draf RUU dapat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Seterusnya kita harap dapat bawa balik (RUU ini) ke Parlimen ini untuk dibentangkan pada tahun hadapan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) sama ada Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai garis masa untuk memuktamadkan penubuhan MTSB memandangkan ia telah dicadangkan sejak hampir 11 tahun lalu.

Anthony menjelaskan, model penubuhan MTSB tersebut masih belum dimuktamadkan dan pihak kementeriannya akan mengambil kira amalan terbaik yang dipraktikkan agensi-agensi siasatan pengangkutan antarabangsa.

Iklan

“Seperti saya katakan memang kita ambil kira juga pandangan dan juga perbandingan dengan agensi antarabangsa di luar negara. Sudah tentu kita akan mengambil kira amalan terbaik daripada agensi-agensi tersebut.

“Apa sahaja agensi siasatan juga sudah tentu ada kebebasannya malah ‘task force’ (pasukan petugas) yang kita bentuk sekarang pun memang mereka bebas melaksanakan apa sahaja siasatan dan membuat apa sahaja syor,” ujarnya.

Kata Anthony, di peringkat kementeriannya sendiri, apabila laporan itu disiapkan ia tidak akan diedit atau tidak akan dibuat apa-apa pindaan dan akan dibentangkan secara terbuka kepada umum.

Sementara itu, menjawab soalan asal Shaharizukirnain mengenai kekangan utama yang menghalang penubuhan MTSB, Anthony berkata, ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan kerajaan baharu yang memerlukan keputusan dasar yang terkini.

Menurutnya, ia juga ekoran pembubaran dan penstrukturan semula agensi-agensi sedia ada di bawah MOT dan pertindihan kuasa agensi-agensi siasatan kemalangan.

“Bermula Jun 2025, MOT telah mengatur gerak langkah terkini bagi mencapai sasaran penubuhan MTSB. Sepanjang Mei hingga Oktober tahun ini kementerian telah melaksanakan sesi libat urus bersama agensi dan pihak berkepentingan.

“MOT juga akan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, bengkel cadangan perjawatan, pemurnian draf RUU serta pindaan undang-undang.

"Sehingga MTSB ditubuhkan kelak, kementerian akan meneruskan mekanisme kewujudan jawatankuasa-jawatankuasa khas siasatan kemalangan seperti kemalangan yang membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak,” tegasnya.