Gardenia, maruah Sabah dan politik
DALAM politik Malaysia, selalu ada detik-detik kecil yang akhirnya menjadi simbol besar. Kadangkala ia bukan skandal, bukan rasuah berbilion, bukan pun drama pengkhianatan, tetapi hanya satu baris ayat yang merembes keluar dari mulut seorang pemimpin. Ayat itulah yang menelanjangkan sikap sebenar kuasa terhadap rakyat.
Begitulah halnya dengan isu 'Gardenia' yang meletup dalam atmosfera politik Sabah beberapa hari ini. Satu kenyataan dari seorang Exco Kedah, kononnya sekadar perbandingan politik dalam dewan negeri, akhirnya membongkar satu perkara yang lebih besar daripada sekadar roti: bagaimana sesetengah pemimpin di Semenanjung masih melihat Sabah dan Sabahan sebagai entiti yang boleh dipujuk, dibeli dan disenyapkan dengan benda yang remeh. Tiada simbol yang lebih sinis daripada roti.