KEGAGALAN lazimnya membuatkan seseorang berasa sedih dan hilang semangat. Namun, bagi anak muda bernama Muhammad Fairul Rejab Ismail, 26, kegagalan bukanlah titik penamat.
Baginya, kegagalan adalah ruang untuk belajar, bangkit dan mencuba semula.
Kunjungan Sinar Harian ke kedai gunting rambut miliknya di Arked Gerai Makanan Skudai Baru di Johor Bahru membuktikan kata-katanya apabila kedai tersebut masih gah beroperasi walaupun terletak di lokasi yang agak tersorok.
Mengimbas detik awal penglibatannya sebagai penggunting rambut, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, segalanya bermula selepas dia menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017.
Katanya, semasa menunggu keputusan SPM, dia mengikuti kursus asas menggunting rambut selama tiga bulan di sebuah kedai sekitar Johor Bahru.
“Saya mula dari bawah. Selepas habis kursus asas, saya bekerja dengan orang dahulu. Dari satu kedai ke satu kedai, saya belajar selok-belok dunia gunting rambut.
“Tanpa saya sedar, setiap pelanggan berikan pengalaman baharu. Dari situ saya kumpul ilmu dan keyakinan untuk terus maju.
“Alhamdulillah, tujuh tahun kemudian (2024), saya berjaya membuka kedai sendiri hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan rapat,” katanya.
Menggunakan ‘Botak’ sebagai jenama kedainya, Muhammad Fairul menjelaskan bahawa gelaran itu bukan sekadar panggilan, sebaliknya identiti yang ingin diketengahkan.
“Orang panggil saya Botak, jadi saya jadikan ia jenama.
“Dalam dunia gunting rambut ada pelbagai gaya seperti flat top, uppercut, fade dan sebagainya, tetapi saya memilih untuk tonjolkan ‘botak’ sebagai gaya tersendiri,” jelasnya.
Mengakui perjalanan membina perniagaan bukan suatu yang mudah, dia percaya pengalaman praktikal lebih bermakna berbanding teori semata-mata.
“Bagi saya, anak muda perlu kenal potensi diri. Kalau ada minat, teruskan.
“Jangan takut gagal sebab kegagalan adalah ‘cikgu’ paling mahal. Masa muda inilah masa untuk mencuba dan berani ambil risiko,” katanya.
Sebelum membuka kedai sendiri, dia turut menawarkan perkhidmatan house call iaitu gunting rambut di rumah pelanggan.
“Antara individu yang pernah dapatkan khidmat saya ialah pemain bola sepak kebangsaan, Ramadan Saifullah Usman dari pasukan Kuching City FC, pada tahun 2024 di Bandar Uda Utama,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Fairul berhasrat memperluaskan pengetahuan dalam bidang pengurusan, pemasaran dan penjenamaan bagi membawa perniagaannya ke tahap lebih profesional.
“Kalau dulu saya belajar cara pegang gunting, sekarang saya nak belajar cara urus bisnes.
“Belajar tak semestinya dalam kelas sahaja kerana pengalaman dan semangat juga satu bentuk pembelajaran,” ujarnya.