PRN17 unik, tidak pernah ada ramai calon - Hajiji

Iklan
Hajiji merakamkan gambar bersama jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik, Tuaran.

TUARAN - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini sebagai sesuatu yang unik.

Ia susulan jumlah calon yang luar biasa iaitu lebih ramai, hampir 596 individu bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Iklan
Iklan

"Tidak mengapa, ini demokrasi. Tetapi saya yakin rakyat akan mengundi dengan bijak memilih parti yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti," katanya selepas pertemuan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini pada Ahad.

Bercakap mengenai jentera pilihan raya GRS Sulaman, beliau memaklumkan kesemuanya terdapat seramai 2,500 orang dan mereka telahpun bersedia menghadapi pilihan raya.

Iklan

"Seperti yang saya katakan tadi saya mahu mereka turun padang untuk bertemu dan menerangkan sumbangan, pencapaian dan perancangan GRS kepada semua pengundi,” katanya.

Beliau percaya jentera pilihan raya ini akan menyumbang kepada kejayaan GRS di kawasan Sulaman.

Iklan

"Arahan yang sama turut diberikan kepada jentera parti di kawasan-kawasan lain," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

"Ya, ini sudah semestinya yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak untuk kita mendapatkan bilangan kerusi Parlimen tambahan.

"Ia juga seperti yang termaktub di dalam MA63 di mana Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya mempunyai satu pertiga bilangan kerusi di Parlimen," katanya.

Hajiji berkata, pertambahan kerusi turut diperlukan memandangkan kawasan-kawasan Parlimen di Sabah turut mengalami peningkatan penduduk.

Beliau turut memberikan contoh seperti Kinabatangan yang sebesar negeri Pahang namun hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, begitu juga Tuaran yang lebih besar daripada Perlis tetapi turut hanya diwakili satu kerusi.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri," katanya.