SERDANG - Dua lelaki yang disiasat berhubung kes penemuan mayat jurujual wanita yang dibunuh dalam keadaan tangan berikat di Blue Water Estate, Seri Kembangan di sini pada 29 Oktober lalu akan didakwa di mahkamah pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan (PPN) Selangor.
Iklan
Iklan
"Polis telah menerima arahan untuk menuduh dua lelaki tempatan berusia 20-an itu.
“Mereka akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan dijadualkan pada jam 8 pagi, esok (Isnin) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan lima individu termasuk bekas teman lelaki mangsa, abang angkatnya serta rakan serumah wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu.
Kes itu diklasifikasi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.