SHAH ALAM - Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuhraya MEX II disyaki berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama bersama pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat dalam masa terdekat.
"Paling penting keberadaan beliau (Adam Radlan).
"SPRM menyeru beliau segera balik bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum itu, menerusi satu kenyataan akhbar SPRM memaklumkan Adam Radlan, 44 mempunyai alamat terakhir di Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.
Kata kenyataan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, G Sharan Raj di talian 014-3560771 atau emel kepada sharanraj@sprm.gov.my.
Difahamkan Adam Radlan dicari bagi membantu siasatan berkaitan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Sebelum ini, beliau turut disiasat berkait projek Jana Wibawa namun mahkamah melepaskan dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.