DUBAI – Iran mengesahkan bahawa Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah merampas sebuah kapal tangki bermuatan petrokimia di perairan Teluk pada Jumaat, lapor Reuters.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kapal tersebut didakwa melanggar peraturan kerana membawa muatan tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai dakwaan itu.
Kapal tangki Talara yang berdaftar di Kepulauan Marshall dilaporkan belayar dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kapal itu membawa muatan gasoil bersulfur tinggi menuju ke Singapura sebelum dipintas dan dibawa masuk ke perairan Iran.
Ini merupakan rampasan pertama oleh Tehran sejak siri serangan Israel–Amerika Syarikat (AS) pada Jun lalu.
Menurut syarikat pengurusnya, Columbia Shipmanagement, komunikasi dengan Talara terputus ketika kapal itu berada kira-kira 20 batu nautika dari pantai Khor Fakkan, UAE.
Syarikat tersebut memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan agensi keselamatan maritim dan pemilik kapal, Pasha Finance yang berpangkalan di Cyprus, bagi mengesan lokasi kapal serta memastikan keselamatan kru mereka.
Rampasan ini dijangka meningkatkan ketegangan di perairan Teluk, yang merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak global.
Insiden seumpama ini sering mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara Barat dan syarikat perkapalan antarabangsa mengenai keselamatan laluan maritim dan kebebasan navigasi.