KINABATANGAN – Isu geran atau pemilikan tanah menjadi antara perkara utama yang akan diperjuangkan Datuk Masiung Banah sekiranya terus diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut.
Menurutnya, peluang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini adalah ruang untuk meneruskan kerja-kerja yang tertangguh, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur dan ekonomi penduduk setempat.
“Kerja tertangguh ini khususnya dari segi pembangunan infrastruktur, pembangunan ekonomi yang sedang berjalan.
“Selain itu, isu pemilikan tanah juga menjadi keutamaan kerana ramai lagi penduduk Kuamut masih belum memiliki tanah. Setakat ini, pemilikan tanah secara individu telah mencapai sekitar 3,700 orang.
“Banyak lagi perkara perlu diselesaikan, khususnya berkaitan isu pemilikan tanah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Penamaan Calon Dewan Sri Lamag, Kinabatangan pada Sabtu.
Tambahnya, beliau tidak membawa sebarang agenda baharu sebaliknya berhasrat meneruskan perancangan sedia ada yang telah digariskan dalam Buku Suara Kuamut.
“Buku Suara Kuamut adalah pelan Perancangan Kuamut 2020 hingga 2030. Kita sudah ada buku yang menjadi panduan untuk membangunkan kawasan ini.
“Pelan itu merangkumi pembangunan infrastruktur, jalan raya, elektrik, ekonomi dan pelbagai lagi aspek kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap diberikan peluang sekali lagi dan yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut.
Masiung merupakan salah seorang daripada lapan calon yang bakal merebut kerusi DUN Kuamut dalam PRN Sabah ke-17 kali ini.