KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah memberi amaran bahawa mana-mana anggota parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) 2025 akan dipecat.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi berkata, tindakan bertanding atas tiket bebas adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti sebagai komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Iklan
Iklan
"Gagasan Rakyat menegaskan bahawa mana-mana individu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti dan mana-mana pimpinan parti, walaupun mereka merupakan ahli Gagasan Rakyat.
"Sehubungan itu, pihak parti telah membuat keputusan untuk memecat serta merta mana-mana ahli parti yang melanggar ketetapan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau dalam pada itu berkata, Gagasan Rakyat menyeru semua penyokong dan jentera parti untuk memperkuatkan kesatuan serta fokus sepenuhnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negerike-17 (PRN17) dengan memastikan kemenangan calon-calon daripada GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah.
Setakat ini, difahamkan terdapat dua Ahli Gagasan Rakyat iaitu masing-masing penyandang DUN Petagas dan Pintasan iaitu Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dan Datuk Fairuz Renddan menghantar borang penamaan calon untuk bertanding bebas pada PRN kali ini.