SEREMBAN – Hujan lebat berserta ribut mengakibatkan lebih 20 rumah di tiga kawasan perumahan di Sendayan di sini mengalami kerosakan khususnya pada bahagian bumbung.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu membabitkan Taman Nusari Bayu 1 Fasa 3, Nusari Aman 1A dan Nusari Bayu 2 Fasa 2.
Pengerusi Persatuan Penduduk Nusari Bayu 1, Mohd Faizal Khabibor Rahman, 41, berkata, terdapat 12 rumah di Lorong 1/1 yang mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Ketika itu saya keluar berniaga dan penduduk menghubungi saya memaklumkan berlaku kejadian seperti puting beliung sehingga menyebabkan kabin pondok pengawal keselamatan kami terbalik.
“Kebanyakan penduduk keluar bekerja dan apabila mereka pulang, didapati 12 rumah terjejas manakala sebuah kereta turut mengalami kerosakan,” katanya.
Menurutnya, kejadian ribut di kawasan terbabit bukanlah kali pertama berlaku, namun kali ini disifatkan yang paling teruk.
Penduduk, Ali Dayong, 75, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan.
“Waktu itu memang hujan lebat, tetapi saya tidak fikir apa-apa sehinggalah terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saya membuka tingkap untuk melihat keadaan di luar dan nampak atap genting beberapa rumah seolah-olah ‘disapu’ angin, manakala tong sampah turut diseret,” katanya.
Seorang lagi penduduk, R Puvaneswaran, 36, turut terkesan apabila siling rumahnya di ruang tamu runtuh, manakala bilik tidurnya dimasuki air hujan selepas bumbung diterbangkan angin.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ketika kejadian, isteri dan tiga anaknya yang masih kecil tiada di rumah.
“Saya sedang bekerja dan jiran menghubungi memaklumkan berlaku ribut. Saya segera menghubungi isteri yang kini hamil empat bulan kerana bimbangkan keselamatannya.
“Saya kemudian terus pulang dan sebaik saja membuka pintu rumah, saya sebak melihat kerosakan yang berlaku,” katanya.
Jelasnya, dia yang baru empat tahun menetap di situ mengalami kerugian lebih RM5,000.