SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor menghormati konsep pemisahan kuasa selepas Mahkamah Tinggi memutuskan tanah di Kampung Jalan Papan, Pandamaran Klang adalah milik pemaju.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan mahkamah perlu diakui dan kerajaan negeri telah mengambil langkah menyokong peneroka yang terlibat dengan menyediakan rumah sewa sementara sebelum penyelesaian jangka panjang.
Beliau menjelaskan, usaha menyelesaikan isu peneroka Kampung Papan sebenarnya bermula pada penggal lalu dengan kerajaan negeri cuba menjadi orang tengah antara pemaju dan penduduk.
"Namun kedua-dua pihak meneruskan kes ini di peringkat perundangan yang akhirnya mahkamah membuat keputusan (perobohan)," katanya pada sidang akhbar selepas Pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat pada 21 Oktober lalu dan keputusan awal adalah untuk mengosongkan rumah tidak berpenghuni dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil ke atas rumah yang masih diduduki selaras arahan mahkamah.
Kerajaan negeri katanya, telah mengambil beberapa langkah untuk membantu peneroka termasuk menyediakan rumah sewa sementara bagi mereka yang memerlukan.
Menurut Amirudin, bagi penyelesaian jangka panjang, pemaju bersetuju menyerahkan 2.8 hektar tanah kepada kerajaan negeri bagi membangunkan kediaman peneroka secara lebih teratur.
Jelas beliau, pembangunan itu akan dilaksanakan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Beliau menambah, rumah sewa sementara akan disediakan sehingga projek kediaman baharu siap dan kerajaan negeri juga bersedia berbincang mengenai masalah kewangan peneroka yang memerlukan kemudahan sewa.
"Ini adalah langkah praktikal selepas usaha penyelesaian sejak 1995.
"Banyak perkara menjadi sukar kerana ia dipanjangkan ke mahkamah dan dijadikan isu dan kita bantu sejauh mungkin," tegas beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan situasi tegang berlaku ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran pada Rabu.
Sekumpulan anggota polis bersama Pasukan Light Strike Force (LSF) ditempatkan di lokasi bagi menjamin keselamatan dan menghalang penduduk daripada melakukan perkara yang tidak diingini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 14 individu dipercayai membabitkan ahli badan bukan kerajaan (NGO) ditahan berhubung kekecohan ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini Rabu lalu.
Beliau berkata, setakat ini jumlah tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita itu direkodkan setakat Khamis.