SANDAKAN - Seramai tiga kru kapal nelayan dipercayai hilang sejak 5 Oktober lalu selepas keluar menangkap ikan di perairan Sandakan.
Mangsa dikenali sebagai Ramdan Ahzari, Ridwan Muhammad dan Risal Japar.
Pemilik kapal yang enggan namanya dikenali berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berkaitan berhubung kes berkenaan.
"Namun setakat ini kami belum menerima apa-apa maklumat terkini.
"Sejak 5 Oktober saya gagal menghubungi tiga pekerja saya dan sistem penentududukan sejagat (GPS) kapal juga gagal dikesan," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Harian pada Jumaat.
Difahamkan, tiga mangsa yang hilang dipercayai warga Indonesia.
Salah seorang keluarga mangsa, Mukhlis Made berkata, anaknya Ramdan Ahzahri kali terakhir menghubungi mereka pada 2 Oktober lalu.
"Dia memberitahu keluar ke laut dan selepas itu kami sudah tidak dapat menghubungi dia.
"Beberapa hari kemudian, kami dihubungi kawan sekerjanya, memaklumkan bahawa kapal anak saya menghadapi musibah dan hilang," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia berharap agar anaknya bersama kru lain dapat ditemui dengan selamat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lanjut berhubung kejadian berkenaan.