PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan notis rayuan yang difailkan pada Khamis bukan terkait penghakiman isu 40 peratus hasil Sabah.
Sebaliknya jabatan itu menegaskan rayuan tersebut adalah sebahagian daripada keputusan mahkamah, khususnya berkaitan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
"AGC telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Khamis terhadap sebahagian daripada keputusan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar AGC, alasan penghakiman berkenaan antara lain mendakwa bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan.
"Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil dan akan terus memulakan rundingan bersama kerajaan negeri Sabah sesegera mungkin," jelasnya.
Selasa lalu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap kerajaan Malaysia.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membenarkan permohonan SLS dan mengarahkan kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mahkamah turut membatalkan sebahagian keputusan yang terkandung dalam tiga Warta Persekutuan, masing-masing bertarikh 20 April 2022, 24 Disember 2023 dan 27 Ogos 2025 kerana didapati bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan mengenai pemberian khas Sabah.