PRN Sabah: PDRM tumpu 15 kawasan 'hot spot'

Iklan
Mohd Khalid ketika ditemui pemberita pada majlis pertemuan khas KPN bersama petugas PDRM sempena PRN17 di IPD Kota Kinabalu pada Jumaat.

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menumpukan 15 lokasi 'hot spot' di negeri ini sepanjang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah berlangsung.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM menempatkan seramai 9,300 pegawai dan anggota di seluruh negeri Sabah untuk menjaga keselamatan di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan pada PRN17.

Iklan
Iklan

"Kita ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan, pertama sekali di kawasan Kota Kinabalu dan juga di kawasan-kawasan pantai timur Sabah.

"Penugasan adalah sebelum, semasa dan selepas (PRN). Jika berlaku apa-apa perkara di luar kawalan, kita pastikan kawasan tersebut dapat dikawal,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan khas bersama petugas PDRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada Jumaat.

Iklan

Mohd Khalid turut menjelaskan bahawa keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif juga akan diberi perhatian, selain aspek politik yang biasanya menjadi tumpuan semasa pilihan raya.

“Dengan penempatan pegawai yang dibuat oleh Datuk Jauteh Dikun (Pesuruhjaya Polis Sabah), saya yakin keadaan keselamatan akan dapat dikawal dengan baik,” tambah beliau.

Iklan

Proses penamaan calon, yang akan berlangsung pada Sabtu ini di 25 lokasi pencalonan, turut menjadi perhatian utama pihak berkuasa.

Mohd Khalid berkata, PDRM akan menempatkan seramai 4,300 pegawai dan anggota untuk memastikan keselamatan sepanjang proses tersebut.

"Kita juga mengarahkan pegawai-pegawai kita termasuk penugasan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bagi memastikan keselamatan berjalan dengan baik dan sempurna.

"Kita akan pastikan bahawa trafik juga dapat berjalan dengan lancar bagi memastikan kemudahan kepada mereka yang terlibat," katanya.