LIMA - Satu tragedi maut berlaku di selatan Peru apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam lebih 200 meter selepas berlanggar dengan kenderaan lain.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian itu mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan 13 yang lain.
Pengurus kesihatan wilayah Arequipa, Walther Oporto memberitahu, bas tersebut melanggar sebuah kenderaan pikap di selekoh sebelum terjunam ke tebing Sungai Ocoña.
"Kenderaan itu terbabas dari jalan raya dan terjunam ke dalam gaung," katanya dalam satu temu bual di sini.
Kemalangan bas maut seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa di Peru.
Walaupun punca sebenar kejadian ini masih tidak diketahui, pihak berkuasa mengatakan banyak kemalangan serupa di negara ini disebabkan oleh pemanduan melulu dan kelajuan yang berlebihan.
Tragedi ini menambah kepada senarai panjang kemalangan jalan raya di Peru sepanjang tahun.
Menurut data rasmi daripada Sistem Maklumat Kematian, kira-kira 3,173 kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan di negara Amerika Selatan itu sepanjang tahun 2024.
Ia mencerminkan kelemahan berterusan keselamatan pengangkutan darat di Peru.- Agensi