Tiada lagi laluan mudah di sempadan

Iklan
Antara pintu masuk yang menghubungkan Malaysia -Thailand.

PERINGATAN keras Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat terhadap amalan memberi isyarat 'angkat tangan' untuk keluar atau masuk ke negara ini membawa mesej jelas bahawa era kelonggaran dan keistimewaan di sempadan sudah berakhir.

Langkah itu bukan sekadar menegaskan kepatuhan terhadap undang-undang imigresen, malah mencerminkan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup ruang penyalahgunaan kuasa dan kebocoran keselamatan di pintu masuk negara.

Iklan
Iklan

Amalan 'angkat tangan' dipercayai menjadi taktik lama yang digunakan oleh segelintir individu, termasuk penjawat awam dan golongan kenamaan untuk melepasi pemeriksaan tanpa dokumen perjalanan sah.

Budaya ini jika dibiarkan, bukan sahaja menjejaskan integriti pasukan penguat kuasa tetapi membuka ruang kepada penyeludupan, pemerdagangan manusia dan aktiviti rentas sempadan yang berisiko tinggi.

Iklan

Peringatan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes lampau termasuk kejadian di Bukit Kayu Hitam yang membabitkan anggota penguat kuasa menggunakan taktik sama dan didapati membawa bom tangan serta senjata api.

Situasi tersebut menjadi bukti bahawa kelemahan kecil di sempadan boleh membawa implikasi besar terhadap keselamatan negara.

Iklan

Penggunaan 'kad Gabenor' yang dikeluarkan oleh pihak Thailand juga tidak sah di Malaysia kerana ia hanya boleh digunakan di negara pengeluar dan tidak diiktiraf di negara ini.

Penjelasan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa dokumen itu boleh digunakan sebagai pengganti pasport atau pas sempadan rasmi.

Secara tidak langsung, ia isyarat jelas PDRM kini memperkukuh profesionalisme dan ketelusan dalam pengurusan sempadan negara.

Dengan menolak budaya 'angkat tangan' yang selama ini menjadi simbol kelonggaran, polis menghantar mesej bahawa undang-undang tidak mengenal pangkat atau status.

Langkah tegas ini bukan sahaja dapat memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan sempadan, malah memperkukuh benteng negara daripada ancaman penyeludupan, pemerdagangan manusia serta pengedaran dadah.