KUALA LUMPUR – Helah 'Geng Kabel Manhole' yang menyamar sebagai pekerja pemasangan kabel untuk melakukan jenayah curi barangan milik Telekom Malaysia (TM) terbongkar selepas tujuh individu diberkas di sini baru-baru ini.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, tangkapan pertama melibatkan enam lelaki berjaya dilakukan kira-kira jam 5 pagi pada Selasa semasa suspek sedang melakukan kerja mencuri kabel di Setapak.
Menurutnya, susulan itu, seorang lagi suspek lelaki yang disyaki berperanan sebagai penjaga tempat turut diberkas kira-kira jam 1.15 petang, Rabu.
“Kedua-dua serbuan ini telah merampas pelbagai barang seperti peralatan pemotong wayar, mesin menarik kabel, tiga kenderaan termasuk sebuah lori, 15 batang kabel serta 30 batang sarung kabel.
“Turut dirampas ialah pakaian keselamatan iaitu vest dan sarung tangan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Wangsa Maju di sini, pada Khamis.
Beliau mendedahkan, sindiket yang aktif sejak kira-kira setahun lalu itu beroperasi dengan menyasarkan lurang pembentungan (manhole) yang dikenal pasti mengandungi kabel.
Tambahnya, selepas itu, suspek akan meletakkan kon-kon di lokasi terbabit bagi memperdaya orang ramai kononnya mereka sedang menjalankan kerja pemasangan kabel.
“Kita percaya kabel yang dicuri akan dipotong terus di lokasi atau ditarik masuk ke dalam lori dengan segera sebelum dibawa ke kawasan terpencil untuk dibakar bagi mendapatkan tembaga, sebelum dijual di pasaran gelap dengan harga kira-kira RM16 bagi setiap kilogram,” katanya.
Katanya lagi, lima daripada suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.
“Kita percaya dengan tertumpasnya sindiket ini, sebanyak 30 kes di Selangor dan Kuala Lumpur berjaya diselesaikan, dengan anggaran kerugian kepada pihak TM sebanyak RM300,000,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek telah direman antara satu hingga tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Mohamad Lazim memaklumkan tujuh lelaki tempatan berusia 22 hingga 34 tahun telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu selepas diberkas atas kesalahan mencuri motosikal.
“Tangkapan ini berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian motosikal di sekitar kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju dan dua kes di kontinjen Selangor,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.