ISKANDAR PUTERI - Penjawat awam Johor bakal menerima bonus dua bulan gaji yang akan disalurkan pada Disember depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian itu sebagai penghargaan kepada 17,454 kakitangan awam negeri terhadap komitmen dan dedikasi penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, bantuan khas itu turut melibatkan kakitangan awam Persekutuan yang menerima gaji di bawah tanggungan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan ‘bonus’ sebanyak dua bulan gaji menerusi pemberian insentif khas penjawat awam negeri," katanya ketika pembentangan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar, pada Khamis.
Dalam pada itu, Onn Hafiz (Machap- BN) turut mengumumkan setiap penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini akan menerima RM500 seorang melalui Insentif Khas Penjawat Awam Persekutuan.
Jelasnya, peruntukan itu melibatkan RM70.1 juta membabitkan 140,185 penjawat awam Persekutuan.