SAMBAS - Penduduk di Desa Sarang Burung Usrat, Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia gempar selepas video memperlihatkan keadaan tiang elektrik dicampur buah kelapa tua dan sabutnya tular di media sosial.
Video dimuat naik pengguna Facebook Fahri Aghifari pada 11 November menunjukkan bahagian dalam tiang yang pecah telah mendedahkan campuran adunan simen dan kelapa.
Fahri menyifatkan perbuatan itu sebagai cerminan budaya rasuah dalam projek pembinaan.
Beliau mendakwa tiang berkenaan hanya bertahan beberapa hari sebelum retak dan pecah akibat bahan binaan tidak mengikut standard.
“Simen tiga paket pun mahu dijadikan modal rasuah. Ketua projek dan perunding perlu disiasat,” katanya.
Menurut Fahri, niatnya hanya mahu memastikan projek pembinaan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul.
Video berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai, dengan warganet mengkritik kelemahan pengawasan projek awam di Sambas.
Pihak berkuasa tempatan belum memberikan sebarang maklum balas berhubung isu tersebut. - Agensi