Lima lagi mayat ditemui, korban bot karam kini 34

Iklan
Penemuan mayat terbaharu itu melibatkan lima lelaki dewasa hasil operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penyelamat pada Rabu. Foto Maritim Malaysia

LANGKAWI - Lima lagi mayat ditemukan pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan maritim Malaysia–Thailand.

Penemuan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada 34 orang.

Iklan
Iklan

Daripada jumlah itu, 25 mayat ditemui di perairan Malaysia, manakala sembilan lagi dikesan di perairan Thailand.

Setakat ini, 14 mangsa dilaporkan terselamat dan kesemuanya ditemui di perairan Malaysia.

Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penemuan mayat terbaharu itu melibatkan lima lelaki dewasa hasil operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penyelamat pada Rabu.

“Sekitar jam 10.10 pagi, Polis Marin menemui satu mayat lelaki terapung berhampiran Pulau Singa Besar. Mayat itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan penemuan satu lagi mayat lelaki dewasa di Selat Chincin berhampiran Pulau Anak Datai,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, satu lagi mayat ditemukan pada jam 3.16 petang berhampiran Pulau Rebak Besar, manakala mayat keempat dikesan berhampiran Tanjung Hulor beberapa minit kemudian.

“Mayat kelima pula ditemui oleh helikopter Jabatan Bomba berhampiran Pulau Rebak Besar sebelum dibawa naik menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujar beliau.

Operasi SAR pada Rabu turut disertai lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta APM.

Sebanyak 14 aset udara dan laut digerakkan dengan kawasan pencarian diperluas kepada 329.67 batu nautika persegi, dibahagikan kepada 14 sektor utama bagi meningkatkan keberkesanan pencarian.

Cuaca dilaporkan baik sepanjang operasi dengan keadaan laut sederhana dan hujan renyai pada waktu tertentu.

Romli berkata, operasi SAR akan diteruskan secara bersepadu sehingga tempoh munasabah sebelum pengumuman penamatan dibuat.