75 PBT diiktiraf capai penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025

Iklan
Aiman Athirah

KUALA LUMPUR - Sebanyak 75 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berjaya memperoleh penarafan Bandar Pintar Malaysia 2025 sejajar aspirasi kerajaan menjayakan Negara Pintar menjelang 2040.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan indikator Bandar Pintar Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019 - 'Sustainable Cities and Communities: Indicators for Smart Cities' yang mengandungi 85 indikator utama sebagai asas penarafan.

Iklan
Iklan

"Sehingga Oktober lalu, sebanyak 70 PBT mencapai tahap satu, empat PBT mencapai tahap dua manakala satu PBT berjaya meraih tahap tiga.

"Selaras dengan kerangka Malaysia Smart City Maturity Journey, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah menetapkan sasaran agar PBT mencapai tahap penarafan yang lebih tinggi secara berfasa dan berperingkat," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Aiman Athirah memaklumkan, kerajaan turut menyediakan insentif dalam bentuk peruntukan bagi melaksanakan projek bandar pintar di peringkat tempatan di samping penganugerahan sijil kepada PBT yang berjaya memperoleh pengiktirafan tersebut.

Menurutnya, pada 2024, sejumlah RM5.2 juta disalurkan kepada 25 PBT manakala RM8.8 juta disalurkan kepada 20 PBT pada 2025.

Iklan

"Antara projek yang dilaksanakan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), lampu isyarat pintar, lampu jalan pintar, tong sampah pintar, tiang pintar, butang panik serta lintasan pejalan kaki pintar.

"Kita akan sentiasa membawa PBT ke advokasi dalam penyediaan bandar pintar seterusnya menuju 'smart nation 2040'," ujarnya.