SHAH ALAM - Enam individu yang ditahan sebelum ini berkaitan kes seorang lelaki pemastautin ditemui mati disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di kawasan Pusat Bandar Puchong, Khamis lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua individu yang ditahan sebelum ini merupakan rakan serumah suspek utama.
"Kesemua individu itu dibebaskan selepas rakaman keterangan selesai dijalankan.
"Setakat ini, keterangan yang diperoleh susulan tangkapan dijalankan tidak membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Polis masih mengesan suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini.
"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki pemastautin tetap berusia 49 tahun ditemui mati disyaki dibunuh di lokasi berkenaan sebelum polis kemudiannya menahan enam lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan.
Susulan itu, usaha giat dijalankan bagi memburu suspek utama yang juga seorang lelaki warga India.
Selain itu, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut dijalankan dan didapati terdapat rakaman yang boleh membantu siasatan.