Bot karam: Radius operasi Carilamat diperluas

Iklan
Radius pencarian diperluaskan kepada keluasan 272.78 batu nautika persegi.

LANGKAWI - Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) insiden bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia–Thailand memasuki hari ketiga pada Selasa dengan radius pencarian diperluaskan kepada keluasan 272.78 batu nautika persegi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, operasi disambung semula seawal jam 7.30 pagi melibatkan pelbagai aset daripada lima agensi keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Antara aset yang digerakkan termasuk lima aset Maritim Malaysia iaitu KM Siangin selaku On-Scene Commander (OSC), Petir 81, Perkasa 1226, Benteng 07 dan pesawat CL 415 – SUMS.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyumbang tiga aset termasuk PSC 19, PSC 23 dan pesawat Beechcraft KingAir 350 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Iklan

Turut serta dalam operasi ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan aset FCB 1331, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bot Kevlar, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menggerakkan bot RIB.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak lima lagi mayat telah ditemukan pada Ahad, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 18 orang.

Iklan

Jumlah tersebut termasuk enam mayat yang dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand.

Kesemua mangsa dipercayai merupakan PATI yang menaiki bot tersebut sebelum ia karam di perairan berkenaan.