KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara digesa menaikkan kadar geran kawasan rukun tetangga (KRT) yang cemerlang kepada RM10,000 hingga RM12,000 setahun memandangkan nilai sedia ada tidak mencukupi.
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang, sesebuah KRT memerlukan dana melebihi jumlah peruntukan yang diterima ketika ini.
“Walaupun sebenarnya (jumlah) RM10,000 itu masih jumlah yang bukan besar tetapi ia setidak-tidaknya memberi tambahan sebanyak RM4,000 kepada KRT yang cemerlang.
“Saya cadangkan juga kementerian sediakan geran yang dibuka untuk permohonan KRT bagi membiayai cadangan program yang memberi impak sosial dan memacu pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) pula mencadangkan geran KRT dinaikkan dua kali ganda kepada RM12,000 setahun.
“Hanya RM6,000 setahun (peruntukan diterima ketika ini), kalau dibahagi 12 bulan bermakna hanya RM500 sebulan untuk menguruskan program perpaduan, aktiviti sosial, keselamatan komuniti dan penglibatan belia.
“Betong (saya) nak tanya, adakah kerajaan benar-benar mahu memperkukuh perpaduan atau sekadar cukup syarat laporan tahunan jabatan?
"Kalau kerajaan serius, tambahlah geran KRT sekurang-kurangnya dua kali ganda baru kita boleh bercakap tentang program bermakna dan berimpak,” ujarnya.