KUALA LUMPUR - SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) sekali lagi mencipta sejarah apabila projek kediaman mampu miliknya, SkyAwani 5 Residences, diumumkan sebagai penerima Anugerah FIABCI-Malaysia Property Award 2025 di bawah kategori Affordable Housing High-Rise.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng, berkata, pengiktirafan berprestij itu mengukuhkan komitmen SkyWorld terhadap matlamatnya untuk ‘Make Living Better’, sekali gus membuktikan bahawa kemampuan dan kualiti pembinaan mampu bergerak seiring dalam pembangunan perumahan moden yang berdaya huni.
“SkyAwani 5 Residences mencerminkan usaha berterusan kami dalam inovasi, kemampanan dan kesejahteraan komuniti nilai yang menjadi tunjang kepada setiap pembangunan SkyWorld,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, tiga projeknya SkyAwani 2 Residences, SkyAwani 3 Residences dan SkyLuxe On The Park Residences turut menerima penghargaan di FIABCI World Prix d’Excellence Awards, menjadikan SkyAwani 5 Residences sebagai projek keempat yang diraikan di peringkat nasional.
Anugerah FIABCI yang digelar ‘Oscar Industri Hartanah’ itu menonjolkan standard tertinggi dalam aspek kualiti, inovasi dan nilai komuniti, sekali gus menegaskan kedudukan SkyWorld sebagai pemaju yang berdaya saing dan progresif.
Terletak di Sentul, SkyAwani 5 Residences dibina di atas tanah seluas 2.06 ekar, merangkumi 615 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi setiap satu dengan reka bentuk tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Dipasarkan pada harga RM300,000 di bawah inisiatif Residensi Wilayah, pembangunan ini menampilkan keseimbangan antara praktikaliti, kemampanan dan keselesaan, sesuai untuk gaya hidup bandar moden.
Projek ini juga mencatat 100 peratus kadar jualan serta skor QLASSIC 84 peratus, iaitu yang tertinggi dalam kategori perumahan mampu milik pada tahun penilaian. Sistem QLASSIC dibangunkan oleh CIDB Malaysia bagi menilai tahap mutu kerja pembinaan secara objektif di seluruh industri.
Selain menekankan aspek kualiti, SkyAwani 5 Residences turut menawarkan pelbagai kemudahan moden termasuk loker bungkusan dan ruang penghantaran tanpa sentuhan, Tree House Pavilion, gelanggang bola keranjang, serta dek rekreasi podium lengkap dengan kolam infiniti, gimnasium, ruang kerja bersama, dewan serbaguna dan kedai serbaneka.
Turut melengkapkan projek ini ialah Sky Lounge di aras 20 dan 36 yang ditawarkan dengan yuran penyelenggaraan rendah RM0.30 sekaki persegi, menjadikannya antara projek kediaman paling bernilai di ibu kota.
Kejayaan itu turut menjadi pemangkin kepada SkyWorld untuk memperluaskan portfolio perumahan mampu milik menerusi pelancaran SkyAwani Prima Residences di Brickfields, SkyAwani 6 Residences di Setapak, serta SkyAwani Pearlmont Residences di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Menurut SkyWorld, projek di Pulau Pinang itu merupakan pembangunan perumahan mampu milik terbesar di Malaysia di bawah inisiatif Rumah Bakat MADANI, selain menjadi projek pertama di negeri berkenaan yang menggunakan kaedah PPVC (Prefabricated Prefinished Volumetric Construction).