BHOPAL – Rampasan daging haiwan liar jenis antelop hitam dan rusa sambar di Madhya Pradesh akhirnya membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila pihak berkuasa membongkar satu sindiket pemburuan trofi mewah yang didakwa beroperasi di sembilan daerah negeri itu.
Siasatan yang pada awalnya dianggap sebagai kes kecil kini berkembang menjadi antara penyiasatan jenayah hidupan liar terbesar di India, melibatkan pelanggan berprofil tinggi, ahli kelab senapang serta kumpulan pemburu rentas sempadan.
Hampir setahun selepas tiga pemuda dari Mumbai ditahan, pakar forensik berjaya memecahkan data telefon bimbit yang dirampas dan menemui ratusan rakaman video, log GPS serta perbualan terancang berkaitan aktiviti pemburuan berjadual.
Berdasarkan hasil analisis digital, pihak penyiasat mengesahkan sekurang-kurangnya 60 ekor haiwan liar termasuk antelop hitam, chinkara dan rusa sambar telah diburu secara haram antara tahun 2022 hingga 2024.
Operasi itu menggunakan helah pertemuan sukan bagi mengaburi kegiatan sebenar, kononnya sebagai acara rekreasi memburu, sedangkan ia dijalankan secara komersial dengan bayaran daripada peserta kaya.
Aktiviti pemburuan dipercayai meniru gaya pemburuan di selatan Afrika, di mana peserta membayar untuk menjejak dan menembak haiwan sebagai trofi atau bagi mendapatkan daging eksotik.
Antara lokasi yang dikenal pasti ialah kawasan berhutan di Dewas, Khargone, Indore, Barwani, Dhar dan Khandwa yang digunakan sebagai lapangan perburuan peribadi.
Sumber penyiasatan berkata, sindiket itu disusun secara profesional dengan rangkaian pemandu tempatan, penjejak berpengalaman serta pembekal senjata berlesen yang berpangkalan di Mumbai.
Antara senjata yang dirampas termasuk senapang buatan Sweden yang digunakan untuk memburu antelop hitam – haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar India 1972, setaraf dengan spesies rusa atau kijang di Malaysia.
Hasil buruan seperti daging, kulit dan tanduk dipercayai dijual kepada keluarga berpengaruh di Mumbai dan turut diseludup ke luar negara melalui rangkaian pasaran gelap yang kini dalam siasatan lanjut.
Menurut pegawai perhutanan India, pemburuan sering dilakukan pada waktu malam dengan bantuan lampu sorot dan pengesan haba, manakala lesen kelab senapang digunakan bagi mengaburi kegiatan tersebut.
Seorang suspek utama, dikenali sebagai Salman Piyarji dari Mumbai, kini memohon jaminan di Mahkamah Tinggi Madhya Pradesh, cawangan Indore, namun permohonan itu dibantah keras oleh komuniti Bishnoi dari Rajasthan.
Komuniti Bishnoi, yang menganggap antelop hitam sebagai haiwan suci, telah memfailkan permohonan campur tangan (IA) bagi menghalang jaminan suspek dan mendesak siasatan menyeluruh dijalankan.
Permohonan itu dijadualkan untuk pendengaran khas pada Selasa ini dengan kehadiran wakil komuniti dan pihak pendakwa negeri.
Pegawai penyiasat memaklumkan bahawa siasatan awal menunjukkan kegiatan pemburuan ini melibatkan penggunaan kenderaan pacuan empat roda mewah serta sistem komunikasi canggih bagi mengelak dikesan.
Berdasarkan rekod, Madhya Pradesh merekodkan jumlah kes pemburuan antelop hitam tertinggi di India, dengan beberapa perbicaraan masih berjalan sejak tahun 1972.
Pegawai Jabatan Hutan Negeri mengakui kejadian ini menunjukkan wujud kelemahan dalam sistem pemantauan hutan serta ketirisan dalam pelesenan senjata api.
“Ini bukan pemburuan biasa, tetapi sindiket komersial berstruktur yang dikawal oleh individu berpengaruh dengan modal, logistik dan hubungan luas,” kata seorang pegawai penyiasat.
Pihak berkuasa kini turut meneliti kemungkinan pelanggaran konvensyen antarabangsa termasuk CITES, memandangkan sebahagian hasil buruan dipercayai dieksport ke luar negara.
Kes ini turut mendapat perhatian kumpulan pencinta alam yang menggesa hukuman lebih tegas serta penempatan pasukan khas di kawasan hutan yang sering menjadi sasaran pemburu mewah.
Siasatan dijangka berlanjutan beberapa bulan lagi, namun pendedahan awal ini sudah cukup mencetuskan persoalan besar tentang bagaimana kawasan perlindungan boleh bertukar menjadi medan pemburuan elit. – The Times of India