Putera MIC gesa mansuh sistem kelas peralihan SJKT, SJKC

Iklan
Shatesh

SHAH ALAM - Sistem Kelas Peralihan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu dimansuhkan serta diganti dengan program sokongan sebenar sebelum murid melangkah masuk ke Tingkatan Satu.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr S Shatesh Kumar berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut kerana ia dianggap tidak lagi relevan dengan situasi semasa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sistem itu bukannya membantu pelajar, sebaliknya menambah jurang ketidaksamarataan dalam pendidikan apabila murid SJKT dan SJKC yang mendapat markah rendah untuk Tahun Enam terpaksa menambah satu tahun lagi di sekolah menengah.

“Pendidikan sepatutnya membetulkan ketidaksamarataan, bukan menambahnya.

Iklan

“Tetapi hari ini, sistem kelas peralihan melakukan perkara sebaliknya. Murid SJKT dan SJKC yang mendapat keputusan rendah di Tahun Enam terpaksa belajar setahun lebih lama.

“Dasar ini sudah lapuk, bersifat diskriminasi dan menghukum kanak-kanak atas kelemahan yang gagal ditangani sistem sejak awal lagi,” katanya dalam kenyataan Ahad.

Iklan

Beliau membangkitkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sayap MIC 2025.

Shatesh berpandangan, jika masalah sebenar adalah penguasaan bahasa Melayu atau tahap akademik, jalan penyelesaian mesti dibuat di peringkat sekolah rendah, bukannya menangguhkan masa depan murid.

“Kita sepatutnya memperkukuh pembelajaran daripada peringkat asas dengan sokongan lebih baik, tuisyen bersasar, intervensi awal dan guru terlatih.

“Bukan menolak pelajar ke dalam ‘zon menunggu’ yang hanya membuang masa dan menjarakkan lagi peluang mereka.

“Sistem pendidikan yang adil sepatutnya mengangkat murid ke hadapan, bukan menghalang kemajuan mereka,” jelas Satesh.

Untuk rekod, Kelas Peralihan diasaskan buat murid yang bukan berbangsa Melayu untuk menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik sebagai persediaan mengikuti pendidikan di sekolah menengah.

Ini bermakna golongan yang ditempatkan di dalam kelas ini mula masuk ke Tingkatan Satu pada usia 14 tahun, tidak seperti rakan-rakan lain yang lazimnya 13 tahun.