MALAYSIA berpeluang mencipta sejarah tersendiri apabila ditawarkan hak penganjuran Kejohanan Dunia Petanque Lelaki 2026, yang dijadual berlangsung pada September tahun depan.
Jika tawaran itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi kali pertama Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi kejohanan berprestij di bawah naungan Persekutuan Boules dan Petanque Dunia (WPBF) berkenaan.
Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, berkata Malaysia kini memiliki fasiliti serba lengkap di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras, sekali gus bersedia menerima tanggungjawab besar tersebut.
“Tahun depan akan diadakan Kejohanan Dunia Lelaki dan sekiranya Malaysia dipilih, ia merupakan kali pertama negara menjadi tuan rumah.
“Dari segi fasiliti, kita sudah bersedia sepenuhnya kerana memiliki 32 gelanggang, sedangkan penganjur hanya memerlukan 24 gelanggang,” katanya pada majlis perasmian Kejohanan Petanque Asia 2025 di Arena Petanque Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ban Cheng, pihaknya kini menunggu kelulusan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum membuat pengumuman muktamad berhubung tawaran tersebut.
Dalam pada itu, Presiden WPBF, Claude Azema, turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia berada pada tahap bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan dunia itu selepas melakukan penilaian di lokasi pertandingan.
“Saya datang untuk menilai sendiri tahap persiapan Malaysia bagi penganjuran Kejohanan Dunia.
“Bagi saya, venue ini amat baik dan sesuai untuk kejohanan berprestij ini. Malaysia sememangnya antara calon utama, namun keputusan akhir akan dibuat bulan depan,” katanya.