Kuala Lumpur – Tindakan seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan antara rakannya dengan individu lain di kawasan Pudu berakhir dengan kecederaan selepas dia dikelar, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, mangsa berusia 21 tahun itu cedera di bahagian kepala, muka dan tangan dalam kejadian berkenaan.
"Mangsa cedera selepas terkena kelaran pisau ketika cuba menenangkan keadaan.
"Dalam kejadian itu, suspek turut mengambil beberapa barangan milik rakan mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, empat lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 23 tahun telah ditahan di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor bagi membantu siasatan.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 November untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.