SUNGAI BULOH – Tindakan pantas beberapa anggota polis membantu memadamkan kebakaran berhampiran kawasan perumahan di Sungai Buloh baru-baru ini tular di media sosial dan menerima pujian ramai.
Video kira-kira satu minit yang dimuat naik menerusi Instagram Friends Of PDRM itu memaparkan beberapa anggota dari Balai Polis Sungai Pelong bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu orang awam memadamkan api dengan mengangkut air menggunakan baldi.
Tindakan anggota terbabit jelas mencerminkan semangat keprihatinan tinggi dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
Menerusi hantaran video berkenaan, kapsyen yang disertakan,“Tengok ni, yang bukan skop kerja pun depa buat. Yang penting keselamatan orang ramai. Syabas anggota Balai Polis Sungai Pelong, IPD Sungai Buloh.”
Rakaman tersebut segera menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan pelbagai kata pujian dan penghargaan terhadap semangat anggota pasukan keselamatan itu.
Seorang pengguna menulis, “Inilah contoh anggota polis yang wajar dihormati. Tak kira masa, mereka tetap membantu masyarakat.”
Seorang lagi pengguna turut memuji keberanian anggota terbabit yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi keselamatan orang awam.
"Terbaik PDRM! Walaupun bukan tugas utama, tetap bantu demi keselamatan rakyat. Semoga Allah membalas jasa kalian,” katanya.
Difahamkan, tindakan pantas anggota polis berkenaan berjaya mengawal api serta mengelakkan kebakaran daripada merebak.
Rata-rata pengguna media sosial memuji keberanian anggota terbabit yang disifatkan sebagai wira sejati kerana sanggup bertindak di luar bidang tugas utama semata-mata untuk menjaga keselamatan orang awam.
Tindakan mereka membuktikan bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia bukan sahaja komited dalam menegakkan undang-undang, malah sentiasa mengutamakan nyawa dan kesejahteraan rakyat dalam apa jua keadaan.