GAZA - Serangan udara Israel memusnahkan bangunan Persatuan Pemikiran Kebudayaan dan Kebebasan di Bandar Khan Yunis, selatan Gaza, yang selama bertahun-tahun berfungsi sebagai pusat aktiviti pendidikan dan sosial untuk kanak-kanak.
Bangunan yang menjadi sasaran tentera Israel itu sebelum ini menempatkan pelbagai projek seni, kebudayaan dan pendidikan untuk kanak-kanak di kawasan berkenaan.
Iklan
Iklan
Sebelum serangan Israel di Semenanjung Gaza bermula, persatuan itu menyediakan sokongan pendidikan, pemulihan psikososial dan program seni kepada ribuan kanak-kanak, menjadikannya antara organisasi masyarakat sivil terkemuka di Gaza.
Perjanjian gencatan senjata di Gaza dicapai antara Israel dan Hamas pada awal Oktober berdasarkan pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Fasa pertama perjanjian itu melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.
Pelan itu juga merangkumi usaha membangunkan semula Gaza dan mewujudkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 69,000 penduduk Palestin di Gaza - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami. - Bernama